SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan untuk mengambil tindakan segera dan berhemah ke atas pembinaan rumah ibadat baharu yang tidak berlesen bagi memastikan keharmonian masyarakat serta perancangan pembangunan yang lebih tersusun.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata tindakan awal dan penguatkuasaan berterusan penting bagi mengelak isu berpanjangan yang boleh menimbulkan kekeliruan pada masa hadapan.
Beliau berkata sebarang pembinaan rumah ibadat baharu tanpa kelulusan perlu ditangani segera mengikut peruntukan undang-undang sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika pembinaan rumah ibadat baharu tidak mendapat kelulusan, tindakan perlu diambil lebih awal. Sekiranya perkara ini dibiarkan, isu sama mungkin berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Bagi rumah ibadat telah lama wujud, pendekatan harmoni dan rundingan perlu diberi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Rumah Pangsa Senawang 2 di sini hari ini.
Terdahulu, Arul meninjau kerja naik taraf tangki air dan sistem retikulasi yang telah siap di rumah pangsa berkenaan, melibatkan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kos keseluruhan RM497,297.
Arul berkata sekiranya terdapat tanah yang sesuai untuk tujuan ibadat, pihak terlibat boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan berkenaan sebagai tanah rizab rumah ibadat, namun jika sebaliknya lokasi alternatif boleh dicadangkan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga menetapkan syarat perancangan yang jelas bagi pembangunan baharu, termasuk penyediaan tanah untuk kemudahan rumah ibadat.
“Bagi pembangunan dengan populasi 10,000 penduduk, pemaju diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 0.4 hektar tanah bagi rumah ibadat bukan Islam dan setakat ini, pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.
Semalam, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA