KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Digital komited untuk memperkukuh tadbir urus pendigitalan negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata penekanan akan diberikan kepada penggubalan kerangka perundangan yang lebih komprehensif berkaitan penyalahgunaan kecerdasanbuatan (AI) dan deepfake (palsuan), pembinaan kepercayaan data, serta peningkatan literasi digital dalam kalangan rakyat.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan hak dan kepentingan rakyat dilindungi, penggunaan teknologi berlaku secara bertanggungjawab dan beretika, serta ekosistem digital negara berkembang secara selamat, inklusif dan berdaya saing.
“Kementerian Digital mengakui bahawa ancaman keselamatan digital hari ini semakin kompleks dan memberi kesan langsung kepada rakyat serta kestabilan sosial,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga berkata ancaman itu khususnya melibatkan peningkatan jenayah digital, penipuan dalam talian serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan dan deepfake yang menjejaskan integriti maklumat dan kepercayaan awam.
-- BERNAMA