PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pengerusi IJM Corporation Bhd ditahan bagi membantu siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan dan transaksi kewangan, termasuk pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan di kediamannya.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata pemeriksaan dan penggeledahan turut dijalankan di tiga lokasi lain, iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan, sebuah bank pelaburan serta kediaman suspek.
“Siasatan awal mendapati bank pelaburan berkenaan dilantik bagi menguruskan proses tawaran pengambilalihan terhadap IJM Corporation Bhd, termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya.
Menurut SPRM, Bahagian Operasi Khas (BOK) memulakan siasatan terhadap suspek pada 19 Jan lalu berhubung dakwaan berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion, yang berpotensi melibatkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang dikaitkan dengan suspek, melibatkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
SPRM turut memaklumkan siasatan memberi tumpuan kepada pengesanan dan penyitaan aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram, dengan 15 saksi termasuk isteri suspek telah dipanggil bagi dirakam percakapan setakat ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Beliau berkata suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan individu berkenaan turut mengalami masalah kesihatan.
-- BERNAMA