EKONOMI

AirBorneo Rancang Pengembangan, Lancar Operasi Jet Separuh Kedua 2026

05/02/2026 03:44 PM

SINGAPURA, 5 Feb (Bernama) -- AirBorneo menyasarkan untuk mengembangkan operasinya dengan laluan dan kapasiti tambahan, susulan rancangannya untuk memperkenalkan operasi enjin jet pada separuh kedua 2026. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat penerbangan itu berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan ke bandar-bandar serantau, termasuk destinasi ASEAN dan domestik, dengan operasi jetnya. 

Beliau berkata AirBorneo dijangka memulakan operasi jet menerusi pengaturan pajakan pesawat, memandangkan ketika ini syarikat itu tidak boleh membuat pesanan bagi pesawat tersebut.

“Ketika ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan kawal selia.

“Sebaik sahaja pesawat tiba, kami juga sedang menyediakan produk dan perkhidmatan untuk ditawarkan di dalam pesawat, serta perkhidmatan operasi penerbangan dan pelanggan.

“Kami sedang bersiap sedia untuk menjalankan operasi, termasuk pengendalian darat, operasi penerbangan, kejuruteraan dan kesediaan komersial untuk rangkaian, pengurusan hasil dan jualan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar Pertunjukan Udara Singapura 2026. 

Menurut Megat Ardian, strategi jangka panjang syarikat penerbangan itu ialah mewujudkan rangkaian operasi yang berperanan penting bagi menghubungkan bandar utama dengan rangkaian luar bandar dan serantau. 

Rangkaian penerbangan timbal balik direka untuk membawa pelancong dan pengembara lain ke Kuching, dan seterusnya membolehkan mereka menggunakan rangkaian perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

“Pelancong akan mengunjungi beberapa komuniti kami, seperti Bario dan Mulu, manakala komuniti dari wilayah lain akan terbang ke Kuching.

“Di situlah pengembangan berlaku, menggunakan kedua-dua pesawat jet dan turboprop,” tambahnya. 

 

Pesanan pesawat ATR dan operasi turboprop

Pada 3 Februari, AirBorneo memeterai perjanjian dengan pengeluar pesawat ATR, pembuat pesawat turboprop serantau Perancis-Itali, bagi memesan lapan pesawat, iaitu terdiri daripada lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, dengan penghantaran dijadualkan antara 2027 dan 2029. 

Siri ATR-600 generasi baharu akan menjadi tulang belakang operasi RAS yang lebih cekap dan berdaya tahan untuk Malaysia Timur. 

Megat Ardian menekankan bahawa penghantaran pesawat baharu akan berlaku dalam susunan 2-4-2, bermula pada suku ketiga 2027 dengan dua pesawat, empat pesawat (2028) dan baki dua pesawat pada 2029. 

Beliau berkata pesawat ATR baharu dijangka menggantikan pesawat ATR sedia ada, yang akan terus beroperasi dalam laluan yang sama. 

“Tiada lapangan terbang baharu dijangka beroperasi, jadi rangkaiannya kekal sama,” katanya. 

Mengulas mengenai operasi pada bulan pertama sejak syarikat penerbangan itu memulakan penerbangan sulungnya pada 2 Januari, Megat Ardian berkata setakat ini AirBorneo mempunyai 14 pesawat, termasuk lapan ATR dan enam Twin Otter. 

Ketika ini, syarikat penerbangan itu membawa penumpang ke 23 destinasi, dengan lima ATR berpangkalan di Kota Kinabalu, dua ATR dan lima Twin Otter beroperasi dari Miri serta satu ATR dan satu Twin Otter dari Kuching.

“Sejak kami mengambil alih operasi dari Malaysia Airlines Group, kami telah membawa kira-kira 53,000 penumbang pada Januari,” katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520456