JENAYAH & MAHKAMAH

Tikaman Di Bahagian Dada Punca Kematian Eksekutif Operasi Bank - Polis

04/02/2026 06:50 PM

ALOR SETAR, 4 Feb (Bernama) -- Tikaman di bahagian dada dikenal pasti sebagai punca kematian seorang eksekutif operasi bank yang ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Zahrullail Basir, 52, di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, semalam.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh luka tikaman di bahagian dada. Luka tikaman itu melibatkan paru-paru kiri dan jantung yang menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk.

“Ia mengakibatkan kematian dalam tempoh masa yang singkat. Doktor juga mengesahkan kecederaan luka tikam dan luka hiris pada badan mangsa adalah disebabkan oleh objek keras dan tajam seperti pisau dapur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian Isnin lepas, Zahrullail ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman pada bahagian badan termasuk perut serta kesan luka di kepala dan tapak tangan.

Polis berjaya menahan suspek, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga anak sulung kepada mangsa, dalam tempoh kurang 24 jam dan direman sehingga 9 Feb depan.

Sementara itu, Syed Basri berkata hasil siasatan mendapati suspek dibelenggu masalah kewangan dan ada membuat pinjaman ‘Ah Long’ di sekitar Pulau Pinang, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan berhubung perkara tersebut.

“Suspek ada membuat pinjaman Ah Long dan dia juga terbeban untuk membayar sewa motor berjumlah RM700 sebulan serta perlu membuat bayaran bilik sewanya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520115