KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM4,200 satu tan metrik (mt) dan pendapatan untuk 2026 pada masa ini, menunggu semakan semula selepas langkah terkini Indonesia menangguhkan pelaksanaan mandat B50.
Menurut HLIB dalam nota penyelidikan hari ini, keputusan bagi suku keempat tahun kewangan 2025 dijangka selaras dengan jangkaan walaupun prestasi huluan tahun ke tahun rendah.
“Pendapatan suku tahunan dijangka bercampur-campur, mencerminkan trend pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang tidak sekata. Pada pandangan kami, sektor hiliran masih mencabar,” katanya.
Katanya walaupun corak tanaman secara bermusim lebih rendah, empat daripada tujuh syarikat di bawahnya (Genting Plantation Bhd, Hap Seng Plantation Holdings (HSP), IOI Corporation Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd) mencatatkan pertumbuhan pengeluaran TBS suku tahunan yang positif.
“Ini terutamanya berikutan perubahan corak tanaman di beberapa ladang di Malaysia. Oleh itu, kami menjangka syarikat akan melaporkan pendapatan suku tahunan bercampur-campur pada musim keputusan kewangan yang akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya prestasi hiliran dijangka kekal rendah berikutan perbezaan cukai eksport dan levi antara Malaysia dan Indonesia, kapasiti berlebihan yang berterusan di Indonesia dan harga isirong sawit yang tinggi berterusan sehingga akhir Oktober 2025.
Dalam perkembangan lain, katanya aktiviti menambah stok yang tinggi menjelang musim perayaan, selain pengeluaran bermusim yang rendah, telah menaikkan harga MSM sebanyak empat peratus kepada RM4,134/mt sejak awal Januari lepas, menjadikan purata setakat ini kepada RM4,050/mt.
HLIB mengekalkan saranan wajaran tinggi ke atas sektor perladangan, dengan pilihan utama ialah SD Guthrie Bhd (harga sasaran (TP): RM6.49) dan HSP (TP: RM2.57).
-- BERNAMA