AM

Kebakaran Tayar Terpakai Merebak Ke Kawasan Belukar Seluas Lebih Tiga Hektar

05/02/2026 08:45 PM

MELAKA, 5 Feb (Bernama) -- Kebakaran longgokan kayu dan tayar terpakai di Jalan KSB Impression 8, Kota Syahbandar di sini yang bermula tengah hari tadi telah merebak ke kawasan belukar seluas 3.24 hektar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata setakat 5.30 petang, operasi memadam kebakaran masih dijalankan dengan kekuatan 26 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

"BBP Melaka Tengah menerima panggilan kecemasan pada 12.28 tengah hari tadi dan tiba di lokasi kebakaran kira-kira dua minit kemudian dengan api berjaya dikawal pada 4.59 petang.

"Operasi berkenaan turut dibantu BBP Bukit Katil, Tangga Batu dan Padang Temu melibatkan tiga jentera dan dua tangki air," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebakaran melibatkan longgokan kayu dan tayar terpakai di kawasan berkenaan.

Mohd Hafidzatullah berkata operasi pemadaman mengambil masa yang lama kerana melibatkan kawasan yang luas dengan faktor cuaca panas dan kering sekali gus menyebabkan api merebak dengan cepat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520639