AM

Anggota APM Bagan Datuk Parah Kenderaan Terbabas Elak Anjing

04/02/2026 10:28 PM

IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk cedera parah selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika cuba mengelak seekor anjing di Selekoh, Bagan Datuk awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.03 tengah malam.

Beliau berkata pacuan empat roda dipandu mangsa Hafizul Borhan, 25, telah hilang kawalan selepas mengelak seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba sebelum melanggar sebatang tiang telekomunikasi dan sebatang pokok.

Mohd Fazly berkata mangsa mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk bengkak pada jantung dan buah pinggang, patah tujuh tulang rusuk, kerosakan usus, patah tangan serta patah kedua-dua belah kaki.

Katanya sebaik menerima panggilan, pegawai dan anggota APM telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal sebelum membawa mangsa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa telah dimasukkan ke dewan bedah pada 11.50 pagi tadi dan seterusnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan. Keadaan mangsa kini ditidurkan dan masih menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520215