JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Lelaki Disyaki Mangsa Bunuh Ditemukan Dalam Sungai

04/02/2026 02:34 PM

IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Mayat seorang lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing dekat Pantai Remis, Khamis lepas. 

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung dan mereput di sungai berkenaan kira-kira 5.30 petang.

"Mangsa ditemukan dengan hanya memakai kemeja-T. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada tubuh badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mengangkat mayat itu berjaya dilakukan dengan bantuan pihak bomba manakala pegawai forensik Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat hentakan objek tumpul. 

Hasbullah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim menerusi talian 019-392 7837 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519954