MUKAH, 4 Feb (Bernama) -- Jambatan Batang Igan akan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac depan menjelang sambutan Aidilfitri, sekali gus menamatkan kebergantungan masyarakat setempat terhadap perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai tersebut.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jambatan itu bakal menjadi pemangkin utama pembangunan sosioekonomi selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan serta menyediakan jaringan hubungan yang lebih baik kepada penduduk setempat terutamanya di sekitar Jemoreng dan Batang Igan.
Beliau berkata sebelum ini, penduduk sekitar bergantung kepada perkhidmatan feri yang mengambil masa hingga 30 minit untuk menyeberangi sungai, tetapi dengan siapnya jambatan itu, masa perjalanan kini menjadi hanya kira-kira satu atau dua minit.
“Ini pastinya akan membawa perubahan ketara kepada kehidupan seharian penduduk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penyambungan Akhir Struktur Utama Jambatan Batang Igan, di Igan, dekat sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri berkata projek jambatan tersebut pada mulanya dicadangkan untuk dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi kemudiannya diambil alih Kerajaan Negeri Sarawak bagi memastikan pelaksanaannya tepat pada masa.
“Tahun lepas, lapan jambatan siap dibina di Sarawak, dan tahun ini kami menjangkakan sembilan lagi jambatan akan siap dibina, termasuk Jambatan Batang Igan,” katanya.
Jambatan sepanjang 1.43 kilometer itu dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya R5 dan mempunyai laluan berkembar.
Projek tersebut menelan kos berjumlah RM285.54 juta yang termasuk pembinaan jalan masuk di kedua-dua belah jambatan.
Berikutan siapnya pembinaan jambatan itu, perkhidmatan feri di kawasan berkenaan akan dihentikan dan dipindahkan ke kawasan lain yang masih memerlukan perkhidmatan tersebut.
Uggah berkata projek infrastruktur utama itu bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, tetapi juga membuka peluang untuk pertumbuhan ekonomi tempatan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
-- BERNAMA