KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 hari ini.
Beliau tiba di Wisma Pertahanan, di sini pada 2.15 petang sebelum menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Malek Razak kemudiannya mengibarkan bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di hadapan pejabatnya sebagai simbolik memulakan tugas sebagai PAT ke-24.
Majlis Sambutan Mula Tugas itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Pada 31 Jan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Malek Razak, yang sebelum ini memegang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat, sebagai Panglima ATM berkuat kuasa 1 Feb.
Malek Razak, 60, memulakan kerjaya ketenteraan sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom pada 1985 sebelum ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda pada 11 Dis 1987.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 RAMD.
-- BERNAMA