KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Binastra Corporation Bhd, Binastra Builders Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM503 juta daripada Exsim Sri Permai Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan sebuah pusat data di Jalan Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat hartanah itu memaklumkan kontrak berkenaan meliputi reka bentuk, pembinaan, penyiapan, pengujian dan pentauliahan, selain penyelenggaraan serta jaminan secara konsep siap guna bagi kerja-kerja asas, substruktur, bangunan utama dan infrastruktur untuk pembangunan yang dicadangkan itu.
Kontrak tersebut akan bermula pada 19 Feb 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.
Ia juga dijangka menyumbang aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan itu bagi tempoh dua tahun kewangan akan datang.
-- BERNAMA