KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sektor perbankan Malaysia dijangka mengekalkan pelaburan modalnya pada 2026, di tengah-tengah keterlihatan dividen yang kukuh dan potensi pulangan atas ekuiti (ROE) yang berkembang, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota penyelidikannya, firma pembrokeran itu berkata institusi perbankan boleh meningkatkan pembayaran dividen dengan memanfaatkan strategi pengoptimuman modal yang berkesan, seiring dengan peningkatan keterlihatan pendapatan dan sokongan faktor makroekonomi yang menggalakkan.
“Asas sektor kekal berdaya tahan, disokong oleh penampan modal dan mudah tunai yang kukuh (Common Equity Tier 1 (CET1) sebanyak 14.2 peratus, nisbah perlindungan mudah tunai 155 peratus, rizab kerugian pinjaman pada 128.7 peratus setakat Dis 2025), sekali gus menyediakan sokongan kepada risiko penurunan.
“Walaupun jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan pada 4.4 peratus untuk 2026, permintaan domestik kekal kukuh disokong oleh tahap pendapatan yang stabil dan aktiviti ekonomi yang berkembang secara menyeluruh melalui pelaburan langsung asing (FDI) dan projek-projek domestik utama,” katanya.
Secara keseluruhan, CIMB Securities berkata pihaknya mendapati keseimbangan antara momentum kredit yang dipacu faktor makro dan kekuatan modal berbanding potensi peningkatan kecil margin faedah bersih (NIM), sekali gus menyokong profil pertumbuhan pendapatan yang stabil.
Firma pembrokeran itu berkata pertumbuhan pinjaman sistem perbankan menyederhana pada 4.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Dis 2025, disokong oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan yang berkurangan kepada 3.7 peratus tahun ke tahun, mencerminkan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana yang lebih lembap, manakala pinjaman korporat besar dan yang berkaitan pelaburan terus menyokong pertumbuhan kredit sistem perbankan.
CIMB Securities berkata pinjaman untuk bangunan perindustrian dan kilang meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025, manakala pembiayaan untuk pembelian tanah, kedai dan pembinaan turut mendapat sambutan.
Pertumbuhan pinjaman yang berterusan di negeri-negeri seperti Selangor (5.4 peratus tahun ke tahun), Kuala Lumpur (4.3 peratus tahun ke tahun) dan Sarawak (5.2 peratus tahun ke tahun) terus menekankan trend dalam perindustrian, disokong oleh pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik yang kukuh, katanya.
Sementara itu, firma berkenaan berkata pertumbuhan pinjaman sektor isi rumah berada pada trajektori menurun, susut kepada 5.3 peratus tahun ke tahun pada Dis 2025 daripada 6.0 peratus tahun ke tahun pada Dis 2024, berikutan kelembapan yang ketara dalam pertumbuhan gadai janji kediaman.
“Apa yang ketara ialah bank telah mengalihkan pembiayaan ke arah hartanah kediaman dalam julat harga lebih tinggi iaitu RM500,000–RM1 juta (8.1 peratus tahun ke tahun) dan melebihi RM1 juta (5.5 peratus tahun ke tahun), disokong oleh peminjam berpendapatan tinggi yang berkemungkinan mempunyai risiko kredit lebih rendah,” tambahnya.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor perbankan, dengan pilihan saham utama ialah Public Bank (harga sasaran (TP): RM5.05), Malayan Banking (TP: RM10.50) dan Affin Bank (TP: RM3.10).
-- BERNAMA