AM

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 Perkukuh Kawal Selia Platform Digital

04/02/2026 08:28 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang berkuat kuasa pada 1 Jan, menambah lapisan baharu kepada kerangka kawal selia negara bagi platform digital, khususnya dalam menangani kandungan berbahaya dan meningkatkan perlindungan keselamatan kanak-kanak.

Akta yang diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada Mei 2025 itu akan beroperasi seiring dengan perundangan sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperkenalkan kewajipan khusus bagi platform yang menjadi hos atau mengedar kandungan dijana pengguna dengan memberikan tumpuan kepada pengurusan risiko sistemik berbanding pendekatan kes demi kes terhadap kandungan.

Undang-undang itu juga bertujuan menangani ketidakselarasan tindakan dalam kalangan platform digital, yang sebelum ini banyak bergantung pada dasar dalaman, susulan peningkatan laporan bahaya dalam talian di Malaysia dengan polis merekodkan kerugian RM2.7 bilion akibat penipuan dalam talian antara Januari hingga November 2025, lapor Bernama.

Pada 24 Okt lepas, polis mengumumkan kejayaan melumpuhkan rangkaian jenayah berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dengan penangkapan 31 individu serta rampasan lebih 880,000 fail digital.

Sejak 2022, sebanyak 38,470 item kandungan buli siber dan gangguan dalam talian telah dihapuskan hasil tindakan kawal selia dan penguatkuasaan.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan platform utama telah menghapuskan kira-kira 92 peratus daripada 697,061 hantaran yang ditandakan sebagai berbahaya antara Januari 2024 hingga November 2025, namun sebanyak 58,104 hantaran masih boleh diakses dalam talian.

Situasi ini menunjukkan bahawa walaupun kadar penghapusan adalah tinggi, sebilangan besar kandungan berbahaya masih terdedah kepada pengguna, termasuk kanak-kanak, suatu keadaan yang dirumitkan lagi oleh peningkatan penggunaan alatan automatik dan kandungan janaan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake.

ONSA terpakai kepada penyedia perkhidmatan aplikasi dan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan, termasuk platform tempatan dan asing yang beroperasi di Malaysia atau menyasarkan pengguna di negara ini.

Akta berkenaan meliputi pelbagai kategori kandungan berbahaya yang ditetapkan, termasuk bahan lucah kanak-kanak (CSAM), penipuan dalam talian dan kewangan, bahan lucah atau pornografi, gangguan dan komunikasi mendera, kandungan berkaitan keganasan atau keganasan ekstrem, bahan yang menggalakkan mencedera diri dalam kalangan kanak-kanak, kandungan yang menggalakkan permusuhan atau mengganggu ketenteraman awam serta kandungan berkaitan dadah berbahaya.

Di bawah kerangka ONSA, platform diwajibkan mengenal pasti dan mengurus risiko yang timbul daripada kandungan berbahaya dalam perkhidmatan mereka, termasuk mengurangkan pendedahan kepada "kemudaratan utama", memastikan kategori kandungan tertentu tidak boleh diakses serta menyediakan mekanisme pelaporan dan sokongan pengguna.

Berbanding menangani hantaran berdasarkan kes demi kes, ONSA juga bertumpu pada tadbir urus platform dan amalan operasi, bukannya pengenaan liabiliti jenayah terhadap pengguna individu bagi ekspresi yang sah di sisi undang-undang.

Platform juga perlu menyediakan dan menyerahkan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan langkah pengurusan risiko, dengan tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya kewajipan tersebut gagal dipatuhi.

Bagi perlindungan kanak-kanak, akta itu menghendaki langkah khusus seperti perlindungan berkaitan umur dan sekatan akses kepada bahan tertentu, yang dijangka mempengaruhi reka bentuk tetapan asal, alatan penemuan kandungan dan ciri interaksi bagi pengguna muda.

Bagaimanapun, ONSA tidak meliputi pemesejan peribadi seorang ke seorang, tidak membenarkan pemantauan umum terhadap pengguna dan tidak mewujudkan kesalahan baharu berkaitan ucapan sah atau ekspresi politik.

Perlindungan prosedur turut diperuntukkan, termasuk keperluan notis sebelum tindakan penguatkuasaan, peluang untuk representasi, rekod awam arahan kawal selia serta akses kepada mekanisme rayuan dan semakan kehakiman.

Walaupun ONSA memperkenalkan struktur kawal selia rasmi bagi keselamatan dalam talian, akta itu tidak menggantikan usaha sedia ada dalam penguatkuasaan, pendidikan atau pencegahan, termasuk aspek celik digital, penglibatan ibu bapa dan norma tingkah laku dalam talian.

Menjelang pelaksanaan sepenuhnya, kesan praktikal ONSA dijangka bergantung pada tahap penyesuaian sistem oleh platform serta pendekatan pengawasan kawal selia dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519823