AM

Lebih 51,000 Penerima Bantuan JKM Di Kelantan Masih Aktif

03/02/2026 06:14 PM

TUMPAT, 3 Feb (Bernama) -- Lebih 51,000 penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan masih aktif setakat ini, kata Pengarahnya Che Samsuzuki Che Noh.

Beliau berkata jumlah itu meliputi lapan skim bantuan termasuk untuk kanak-kanak dan warga emas membabitkan peruntukan sebanyak RM282 juta pada tahun lepas.

"Antara penerima bantuan yang ramai di Kelantan adalah elaun pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

"Bantuan JKM ini bersifat kumulatif, manakala kes terkeluar daripada menerima bantuan ini adalah mereka yang telah melepasi paras garis kemiskinan dan meninggal dunia," katanya selepas Program Dialog Awam bersama kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Tumpat dan pemimpin setempat di sini, hari ini.

Che Samsuzuki berkata pada tahun lepas sahaja, pihaknya menerima hampir 20,000 permohonan baharu dengan purata bagi setiap jajahan sekitar 1,500 hingga 1,600 orang.

"Permohonan baharu ini akan melalui beberapa prosedur terlebih dahulu mengikut syarat yang ditetapkan dan akan dinilai oleh pegawai JKM.

"Jumlah penerima bantuan tertinggi di negeri ini adalah di jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519725