PADANG BESAR, 2 Feb (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan lebih banyak Institusi Pendidikan Islam (IPI) di seluruh negara berdaftar dengan pihak berwajib berkaitan bagi memudahkan pemantauan serta penyaluran bantuan secara tersusun dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap institusi mendapat perhatian sewajarnya termasuk daripada aspek keselamatan, infrastruktur dan kebajikan pelajar.
“Kita ingin menggalakkan semua mereka berdaftar agar kita dapat memantau dan pada masa sama membantu memperkukuh institusi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke IPI Perlis di Maahad Attarbiyah Al Islamiyah (MATRI) di Beseri dekat sini hari ini.
Zulkifli berkata keperluan pendaftaran IPI seiring dengan peningkatan peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah agama di seluruh negara kepada RM200 juta tahun ini yang membolehkan lebih banyak institusi agama menerima manfaat tersebut.
Beliau berkata antara manfaat itu ialah kerja baik pulih bangunan, pendawaian elektrik serta penambahbaikan bilik darjah bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan selamat.
“Tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM150 juta melibatkan kira-kira 1,600 sekolah agama di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan memperuntukkan RM157,800 tahun lepas bagi kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan di MATRI yang memberikan manfaat kepada warga sekolah itu menerusi penambahbaikan sistem pendawaian serta naik taraf beberapa kelas.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan berteraskan semangat Malaysia MADANI dalam memastikan IPI di negara ini terus diperkasakan secara menyeluruh dan berdaya saing.
-- BERNAMA