PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kajian cadangan untuk mewujudkan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilaksanakan sebuah universiti yang berwibawa, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau berkata kajian tersebut dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak Disember lepas susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
"Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh UIA, sebuah universiti berwibawa," katanya pada sidang media selepas majlis menadatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.
Hannah berkata setelah kajian itu disiapkan, Jemaah Menteri akan meneliti hasilnya sebelum membuat sebarang keputusan sama ada ia sesuai dilaksanakan atau tidak.
"Kita akan sediakan kertas untuk maklumkan kepada Kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan hendak pinda akta atau tidak," katanya.
-- BERNAMA