MEXICO CITY, 2 Feb (Bernama-Anadolu) -- Calon konservatif Laura Fernandez Delgado daripada Parti Rakyat Berdaulat (PPSO) yang memerintah, mendahului saingan dalam Pilihan Raya Presiden Costa Rica, lapor Anadolu Ajansi memetik pengumuman Tribunal Pilihan Raya Tertinggi (TSE) pada Ahad.
Delgado - yang dianggap sebagai pewaris politik Presiden Rodrigo Chaves Robles - mempunyai kelebihan besar berbanding calon lain dan berada di landasan tepat untuk memenangi jawatan presiden dalam pusingan pertama.
Menurut keputusan awal dengan lebih satu pertiga daripada pusat pengundian telah diproses, TSE memaklumkan bahawa undi di 2,228 daripada keseluruhan 7,154 pusat pengundian telah dikira, mewakili 31.14 peratus undian, dan keputusan akan terus dikemas kini.
Delgado mendahului pengiraan awal dengan 326,733 undi atau 53 peratus, sekali gus melepasi ambang 40 peratus yang diperlukan untuk memastikan kemenangan pusingan pertama.
Berada di tempat kedua ialah Alvaro Ramos daripada Parti Pembebasan Nasional (PLN) yang memperoleh 185,257 undi atau kira-kira 30.06 peratus.
Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan sengit dengan jumlah calon yang luar biasa ramai iaitu seramai 20 orang, tetapi 18 daripada calon berkenaan gagal melepasi paras 3.0 peratus undian setakat pengiraan awal ini.
Pilihan raya itu juga dicirikan oleh penyertaan pengundi yang tinggi, dengan TSE melaporkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.96 peratus manakala kadar tidak mengundi adalah 33.04 peratus.
-- BERNAMA-ANADOLU