DUNIA

UNICEF Salur Bantuan EUR2.7 Juta Untuk Kanak-kanak Di Syria

02/02/2026 07:32 PM

DAMSYIK, 2 Feb (Bernama-QNA) -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dengan kerjasama Finland, mengumumkan sumbangan sebanyak 2.7 juta euro bagi membantu kanak-kanak di Syria, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Wakil UNICEF di Syria Meritxell Relano Arana berkata kanak-kanak di Syria telah terlalu lama menantikan kestabilan, keselamatan dan peluang untuk belajar.

Arana berkata perkongsian dengan Finland itu akan membolehkan usaha bantuan mendekati kanak-kanak yang paling memerlukan, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang terjejas akibat konflik dan perpindahan.

Pelaburan dalam pendidikan inklusif dan perlindungan kanak-kanak akan menyumbang kepada pembinaan masa depan yang lebih baik buat kanak-kanak di Syria, katanya.

Wakil UNICEF itu turut menegaskan bahawa usaha meletakkan kanak-kanak di landasan pemulihan memerlukan kepimpinan nasional yang kuat serta perkongsian mampan.

Beliau menyatakan bahawa sokongan Finland akan membolehkan UNICEF bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkukuh sistem, memperluas perkhidmatan inklusif, dan memastikan akses bagi kanak-kanak yang paling rentan.

-- BERNAMA-QNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519429