AM

Pengarah Drama 'Manjalara' Haris Kadir Meninggal Dunia

02/02/2026 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Industri seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila pengarah drama veteran, Haris Kadir, 60, meninggal dunia awal pagi tadi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Faizal Ariff mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 5 pagi di Hospital Ampang akibat kanser paru-paru.

"Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital sejak sekian lama bagi menjalani rawatan. Pihak FDAM sendiri ada melawat beliau pada 21 Jan lepas untuk memantau keadaannya," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi FDAM Datuk Afdlin Shauki menyifatkan pemergian Haris sebagai satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham antara 'otai' yang menjadi pembuka jalan kepada generasi pengarah masa kini.

"Beliau membantu menaikkan profil pengarah-pengarah drama TV dan sumbangan beliau sangat besar kerana membuka jalan serta memberi peluang kepada generasi kedua dan ketiga dalam industri ini," katanya.

Haris meninggalkan warisan seni yang luas menerusi pelbagai drama rantaian mega dan telefilem seperti Manjalara, Misi Anak Bulan, Cinta Ibadah, Bukan Kerana Aku Tak Cinta serta siri telefilem Bila Hati Telah Hitam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519273