JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Keluar 154 Saman Dalam Operasi Bersepadu SJR Di Genting Highlands

01/02/2026 06:10 PM

 KUANTAN, 1 Feb (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengeluarkan 154 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah / Operasi Khas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 14 Jalan Genting Highlands semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata saman itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 246 kenderaan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan.

“Antara kesalahan dikesan ialah pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi, penggunaan aksesori tidak dibenarkan serta tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan berikutan pihaknya menerima aduan dan maklumat berkaitan kenderaan yang berlumba serta mengeluarkan bunyi bising daripada ekzos yang telah diubah suai sehingga mengganggu pengunjung dan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Dalam operasi sama, Zaiham berkata seorang wanita warga asing turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pasport.

Sementara itu, IPD Bentong dalam hantaran di Facebook memaklumkan operasi berkenaan bermula pada 10 malam hingga 2 pagi tadi dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota polis dari IPD Bentong serta dibantu Polis Bantuan Genting Highlands.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519183