Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Pengukuhan ringgit ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) membawa berita baik kepada rakyat, sekali gus mencerminkan kejayaan dasar tadbir urus, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Awal minggu ini, ringgit mengukuh dan melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS dan meneruskan peningkatan yang bermula seminggu sebelumnya, sekali gus memaparkan pemulihan sentimen terhadap asas-asas ekonomi negara dan kestabilan politik.
Walaupun perkembangan itu dijangka memberi manfaat ketara kepada pengguna dan perniagaan yang bergantung kepada import, pakar berpendapat impak sebenar pengukuhan mata wang tempatan memerlukan masa sebelum dapat dirasai sepenuhnya oleh kumpulan sasar.
Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata keadaan itu berpunca daripada realiti pasaran yang masih dipengaruhi stok sedia ada, iaitu barangan yang dibeli atau diimport ketika nilai ringgit rendah sehingga menyebabkan penurunan harga tidak dapat disalurkan serta-merta kepada pengguna.
Sehubungan dengan itu, Shamsul Amri ketika ditemui Bernama menasihatkan masyarakat agar tidak ‘tergesa-gesa’ berbelanja atau mempertikaikan kesannya yang belum dapat dirasai, sebaliknya memahami jurang masa antara pengukuhan mata wang serta impak sebenar terhadap harga runcit di pasaran.
Beliau berkata terdapat empat kumpulan utama yang mendapat manfaat daripada pengukuhan mata wang tempatan, iaitu pengguna, perniagaan yang bergantung kepada import, kerajaan serta rakyat Malaysia yang berbelanja atau berada di luar negara.
“Apabila ringgit mengukuh, barangan import seperti telefon pintar, kenderaan, ubat-ubatan, gandum dan susu menjadi lebih murah, namun kesan itu hanya dapat dirasai selepas stok lama habis dijual. Disebabkan itu, rakyat tidak boleh menganggap harga akan turun serta-merta.
“Kebiasaannya, mengambil masa dua hingga tiga bulan (harga turun) bahkan ada mencecah empat bulan seperti kenderaan, bergantung jenis barangan. Ini yang perlu difahami rakyat bagi mengelakkan salah faham terhadap kerajaan sekiranya manfaat pengukuhan ringgit belum dapat dinikmati sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu ketika mengulas kesan awal kepada barangan keperluan berkata pengukuhan ringgit terhadap harga runcit tidak boleh dilihat secara langsung kerana setiap jenis produk mempunyai tempoh dan corak pasaran berbeza bergantung kepada nilai, kekerapan pembelian serta rantaian bekalan.
Beliau berkata barangan keperluan asas seperti makanan segar dan ubat-ubatan berpotensi menunjukkan kesan lebih awal berbanding produk tahan lama seperti makanan dalam tin disebabkan pusingan stok yang lebih pantas dijual dan dibeli secara konsisten oleh pengguna.
“Barangan yang kita beli setiap hari atau setiap minggu, lebih cepat memperlihatkan perubahan harga tetapi bagi barangan bernilai tinggi atau tidak dibeli secara kerap, kesannya mengambil masa lebih panjang dan tidak boleh dijadikan ukuran segera terhadap impak pengukuhan ringgit,” katanya.
Dalam konteks perniagaan, beliau berkata pengukuhan ringgit memberi ruang kepada pengimport mengurangkan kos operasi secara beransur, namun penyaluran manfaat kepada pengguna bergantung pada struktur harga dan rantaian pengedaran termasuk peranan orang tengah.
Shamsul Amri juga berpandangan penguatkuasaan serta pemantauan harga oleh pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan penurunan kos import benar-benar diterjemahkan kepada harga yang lebih munasabah di peringkat pengguna, sekali gus membolehkan rakyat menikmati manfaat pengukuhan ringgit.
Sementara itu, pakar ekonomi Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengukuhan ringgit memberi ‘isyarat positif’ kepada ekonomi negara serta mengukuhkan keyakinan pelabur asing, seterusnya memberi manfaat jangka panjang termasuk penciptaan peluang pekerjaan.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) Putra Business School (PBS) itu berkata impak pengukuhan ringgit bukan sahaja dapat dilihat daripada sudut makroekonomi tetapi turut memberi implikasi langsung kepada kehidupan seharian rakyat dan antara sektor berpotensi merasai manfaat lebih awal ialah industri seperti sektor penternakan.
“Sebagai contoh, industri penternakan ayam di Malaysia hampir 100 peratus bergantung kepada makanan ternakan yang diimport. Apabila ringgit mengukuh, kos import dedak ayam menjadi lebih murah dan ini berpotensi menyumbang kepada penurunan harga ayam di pasaran,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pengukuhan ringgit turut meningkatkan kuasa beli rakyat tempatan yang ingin melancong ke luar negara apabila nilai pertukaran mata wang menjadi lebih menguntungkan berbanding sebelum ini.
Ketika diminta mengulas mengenai pandangan skeptikal sesetengah pihak yang melihat pengukuhan ringgit ketika ini lebih dipengaruhi oleh kelemahan dolar AS, Ahmed Razman berkata prestasi mata wang tempatan sebenarnya didorong oleh gabungan faktor luaran dan dalaman.
“Memang benar dolar AS sedang melemah tetapi faktor dalaman ekonomi Malaysia juga memainkan peranan penting. Jika dibandingkan dengan mata wang lain di Asia, ringgit mencatat antara prestasi pengukuhan paling cemerlang, menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang positif dan berkembang sejak tahun lepas,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyifatkan kestabilan ekonomi domestik termasuk dasar monetari yang masih akomodatif dengan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026, memberi ruang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang lebih rancak dalam tempoh terdekat.
Ahmed Razman berkata kerajaan perlu memberi perhatian terhadap kesan pengukuhan ringgit ke atas sektor eksport dan pelancongan domestik kerana barangan eksport tempatan berisiko menjadi lebih mahal di pasaran luar, sekali gus menjejaskan permintaan.
“Penting untuk Malaysia terus mengekalkan daya saing melalui penghasilan produk bernilai tambah tinggi. Pengukuhan ringgit tidak akan memberi kesan negatif kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 meskipun kuasa beli pelancong asing menjadi lebih kecil berbanding ringgit,” katanya.
-- BERNAMA