AM

2,000 Ayam RM7 Sekilogram Habis Dijual Dalam Masa Setengah Jam

18/03/2026 02:03 PM

BUKIT GANTANG, 18 Mac (Bernama) -- Kira-kira 2,000 ekor ayam berharga RM7 sekilogram habis dijual dalam masa setengah jam pada program Jualan Termurah MADANI sempena Aidilfitri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang membeli daging lembu yang dijual serendah RM24 sekilogram selain minyak masak, telur, tepung, gula dan lain-lain keperluan makanan.

Seorang pembeli, Roszie Nazra Abdul Razak, 47, dari Larut Tin di sini berkata dia tidak akan melepaskan peluang apabila program sedemikian diadakan setiap kali menjelang musim perayaan.

"Harga ayam dan daging sangat murah berbanding beli di pasar atau tempat lain sekali gus menjimatkan perbelanjaan menyambut hari raya.

"Saya beli pelbagai barangan seperti ayam, daging dan lain-lain dalam kuantiti yang banyak. Kesemuanya saya belanja tidak sampai RM500," katanya ketika ditemui pada program jualan berkenaan.

Azhari Abd Aziz, 63, dari Kampung Hujung Matang di sini berkata dia memanfaatkan peluang membeli 40 ekor ayam untuk disedekahkan kepada penduduk kampungnya yang kurang berkemampuan.

"Program sebegini bagus diadakan selalu sebab sangat membantu golongan kurang berkemampuan membeli keperluan hari raya,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata konsep jualan pukal digunakan pada program itu bagi mendapatkan harga lebih rendah sebelum dijual kepada orang ramai tanpa subsidi kerajaan.

"Kita beli dalam kuantiti besar untuk dapat diskaun, kemudian kita terus jual kepada rakyat pada harga lebih murah. Ini usaha sendiri untuk bantu kurangkan beban kos sara hidup,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535630