SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengeluarkan sebanyak 1,381 kompaun bernilai RM4,219,200 sepanjang tahun lepas hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata jumlah itu merangkumi kompaun yang dikeluarkan secara terus dan nilai potensi kompaun bagi kes-kes yang dibuka kertas siasatan di bawah pelbagai akta yang dikuatkuasakan kementerian berkenaan.
“Sepanjang tahun 2025, KPDN Selangor telah memeriksa sebanyak 110,067 premis perniagaan di seluruh negeri melibatkan pelbagai sektor termasuk runcit, borong dan perkhidmatan.
“Hasil pemeriksaan mencatat 1,381 kompaun telah dikeluarkan secara terus dengan nilai RM341,900 manakala 478 kes lagi dibuka kertas siasatan dengan nilai potensi kompaun mencecah RM3,877,300," katanya dalam sidang media di Jalan Mesra, Taman Sri Muda di sini hari ini.
Beliau berkata penguatkuasaan berterusan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan khususnya berkaitan kawalan harga dan bekalan serta perlindungan pengguna.
Muhamad Hanif berkata antara yang dikuatkuasakan ialah Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan, Akta Timbang dan Sukat serta Akta Perlindungan Pengguna bergantung kepada jenis kesalahan yang dikesan.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,141 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga, 146 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan, 293 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat diikuti 62 kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna.
“Selain kompaun, tindakan rampasan turut diambil dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM18,050,991.47," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan 12,199 pemeriksaan premis dan mengeluarkan 210 kompaun dengan nilai keseluruhan RM61,900 diikuti RM208,000 bagi 41 kes yang dibuka kertas siasatan sejak awal Januari tahun ini.
Terdahulu, Muhamad Hanif turun padang mengetuai 15 pegawai dan anggota KPDN Selangor dengan kerjasama enam pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan operasi pemeriksaan khas di sekitar Seri Muda susulan aduan yang diterima.
“Hampir 30 premis telah diperiksa, dan kita mengesan lapan pelanggaran di bawah akta KPDN serta lima ketidakpatuhan di bawah peruntukan SSM.
"Sebanyak 13 kes telah diambil tindakan serta-merta melalui kompaun dengan jumlah keseluruhan hampir RM10,000," katanya.
Beliau berkata operasi sinergi sedemikian menumpukan kepada premis perniagaan yang disyaki dimiliki atau dikendali oleh warga asing termasuk pematuhan tanda harga, alat timbang dan sukat serta penjualan barang kawalan.
"KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan sama ada melibatkan warga tempatan atau warga asing," katanya.
-- BERNAMA