PASARAN

Ringgit Dibuka Lebih Kukuh Pada 3.9485, Data Hambar AS Beri Tekanan Terhadap Dolar

28/01/2026 09:26 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh data ekonomi AS yang hambar seterusnya memberi tekanan selanjutnya terhadap mata wang itu.

Ketika dagangan dibuka pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9485/9500 berbanding dolar AS, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Mei 2018, daripada 3.9500/9555 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 1.32 peratus kepada 95.759 mata apabila data terkini  mengukuhkan jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari tahun ini.

“Indeks Keyakinan Pengguna oleh Conference Board AS turut susut kepada 84.5 mata pada Januari, merosot melebihi jangkaan dan lebih rendah daripada unjuran konsensus pada 90.6 mata,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata prestasi indeks itu menunjukkan kalangan rakyat AS semakin bimbang terhadap kos sara hidup dan prospek guna tenaga, menandakan perbelanjaan pengguna -- tonggak utama ekonomi AS -- berkemungkinan terus sederhana.

“Selain itu, yen Jepun terus mengukuh susulan perbincangan berterusan mengenai kemungkinan campur tangan terselaras oleh kerajaan Jepun dan Rizab Persekutuan AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata ringgit berpotensi menembusi paras di bawah 3.95 berbanding dolar AS, dipacu kelemahan berterusan mata wang negara itu.

Bagaimanapun, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding beberapa mata wang utama dan mata wang negara rakan serantau ASEAN.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4592/4613 daripada 5.4103/4178 ketika ditutup pada Selasa, dan rendah berbanding euro kepada 4.7473/7491 daripada 4.6958/7023.

Unit tempatan juga turun  berbanding yen Jepun kepada 2.5890/5902 daripada 2.5691/5730.

Ringgit juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1317/1332 daripada 3.1174/1219 ketika ditutup semalam, dan kurang stabil berbanding baht Thailand kepada 12.7639/7790 daripada 12.7247/7478.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 235.4/235.6 daripada 235.5/236.0, dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.69 daripada 6.68/6.70.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517589