JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga Rugi Lebih RM60,000 Ditipu Sindiket Tawaran Tender Tidak Wujud

28/01/2026 08:39 AM

KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki kerugian sebanyak RM62,000 selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 11 Jan lepas, mangsa yang berusia 37 tahun telah menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai petugas Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang.

Beliau berkata suspek  menawarkan projek membekal kabel elektrik jenis 16 milimeter (mm) dan 2.5 mm bernilai lebih RM60,000 dalam masa tiga hari kepada mangsa.

"Suspek turut memberikan nombor telefon rakannya yang menyamar sebagai pembekal kepada mangsa, kononnya untuk memudahkan urusan pembelian barangan.

"Mangsa yang terperdaya telah menghubungi rakan suspek dan membuat dua kali bayaran berjumlah RM62,000 pada 25 dan 26 Jan lepas bagi mendapatkan bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa mengesyaki ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM40,000 bagi pelepasan kastam.

Mangsa kemudian menghubungi pihak ILP Marang bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kewujudan tender berkenaan dan perkara itu dinafikan pihak institut berkenaan.

"Mangsa membuat laporan polis pada 1.51 petang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517576