PELABUHAN KLANG, 27 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 57 pendatang asing termasuk seorang bayi, yang dipercayai cuba menyeludup masuk dan keluar menerusi dua bot berasingan di perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, semalam.
Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan pertama dilakukan pada 12.30 tengah malam, melibatkan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nakhoda Omar yang cuba memasuki negara dari arah Tanjung Balai, Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun. Sebanyak 26 warga Indonesia berada di atas bot terdiri daripada 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan sembilan wanita berusia lima hingga 53 tahun.
"Selain itu, dua lelaki warga tempatan berusia 46 dan 49 tahun turut berada di atas bot berkenaan dan dipercayai keluar dan pulang ke negara ini melalui laluan tidak sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Selangor, di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata tangkapan kedua pada 2 pagi pula, melibatkan semua bot pom-pom yang cuba keluar dari negara ini, dikesan pada kedudukan sekitar dua batu nautika barat daya kawasan sama.
Beliau berkata bot berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama dua awak-awak yang juga warga Indonesia berusia 22 hingga 32 tahun, manakala pemeriksaan lanjut menemukan 24 pendatang asing terdiri 19 lelaki dan lima wanita berumur 22 hingga 64 tahun, tidak termasuk seorang bayi berumur tiga bulan di dalam vesel itu.
"Kesemua individu ditahan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka berserta bot telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana cuba membawa masuk pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Difahamkan setiap individu yang menaiki bot berkenaan dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang, bergantung kepada jantina dan lokasi penghantaran, katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Muhaimin berkata APMM Selangor telah menahan lebih 100 suspek terutamanya pendatang asing sejak awal tahun ini, yang menunjukkan trend peningkatan bot cuba merentas sempadan negara.
“Peningkatan itu berkemungkinan ada kaitan dengan persiapan menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri. Oleh itu, operasi penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan pihak media diharap dapat membantu menyampaikan mesej ketegasan ini kepada orang ramai.
“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara,” katanya.
Abdul Muhaimin menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di perairan negara kepada Pusat Operasi APMM Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA