KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan air ketum dengan menahan enam individu di sebuah premis kediaman di Rawang, Selangor, pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu, polis turut merampas 1215.6 liter air ketum.
“Turut dirampas 20 kilogram daun ketum serta pelbagai peralatan memproses bahan berkenaan dengan nilai rampasan berjumlah RM21,060, dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Selain itu, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Noor Ariffin berkata semakan mendapati kesemua yang ditahan iaitu seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing adalah negatif.
Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha pembanterasan secara berterusan.
-- BERNAMA