AM

Sekolah Rintis Bangsa Johor Cungkil Bakat Luar Biasa Murid Dalam STEM

27/01/2026 11:36 AM

 

Oleh Hasnah Jusid dan Nur Fatin Mohmad Kadenen

Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) mula menampakkan hasil positif khususnya dalam memperkasa pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Laporan ini merupakan bahagian ketiga daripada lima siri berita yang mengupas pencapaian, pelaksanaan serta hala tuju SRBJ di Johor.

 

JOHOR BAHRU, 27 Jan (Bernama) -- Belum pun mencecah usia setahun, Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang menerapkan penggunaan teknologi digital bertaraf antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), kini memperlihatkan hasil yang ketara, khususnya dalam pencapaian bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara Uzaini Abdul Razak berkata lonjakan prestasi itu jelas dilihat menerusi pencapaian membanggakan murid sekolah berkenaan yang merangkul pelbagai anugerah dan kejuaraan dalam pertandingan berkaitan STEM sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Dalam tempoh tiga bulan sahaja, iaitu dari Oktober hingga Disember lepas, murid kami berjaya mencatat kejayaan demi kejayaan. Penggunaan tablet iPad serta pendedahan kepada aplikasi seperti Tinkercad dan Canva banyak membantu murid meneroka idea kreatif dan inovatif,” katanya ketika ditemui Bernama.

Antara pencapaian yang direkodkan ialah naib johan Cabaran Reka Bentuk Kejuruteraan Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang; johan Bandar Masa Depan Canva Pendidikan Khas Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan; serta tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan mencipta Reka Bentuk 3D - Model Robot Teman Anda.

Selain itu, sekolah turut meraih pingat perak dan Anugerah Khas Ekspo Multimedia, Seni dan Reka Bentuk Antarabangsa (iMADE); pingat perak Malaysia Grand Invention Expo (MAGIEX) 2025; serta Pingat Perak dan Anugerah Penghargaan dalam Pertandingan Sains Kancil. 

Uzaini berkata, tablet iPad yang dibekalkan kepada 372 murid tahun empat, lima dan enam di sekolah berkenaan bukan sekadar alat pembelajaran, sebaliknya menjadi “kunci pintu dunia digital” yang membantu murid membina asas kukuh dalam STEM dan Bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah.

Beliau berkata kekuatan guru yang dihantar mengikuti latihan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Singapura, turut menjadi pemangkin kepada transformasi tersebut apabila 85 peratus daripada 58 guru di sekolah itu berusia bawah 40 tahun dan mahir dalam pedagogi digital.

“Pendekatan guru generasi muda memberi impak besar kepada murid. Mereka bukan sahaja menguasai aplikasi seperti Canva dan AutoCAD, malah mampu menterjemahkan idea kreatif ke dalam projek dan pertandingan,” katanya.

Uzaini berkata penggunaan iPad serta aplikasi pembelajaran seperti Canva, Padlet dan Quizizz menjadikan PdP lebih interaktif dan menyeronokkan, sekali gus meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dengan sasaran melebihi 90 peratus.

Beliau berkata murid “Generasi Z” lebih cenderung kepada pembelajaran berasaskan visual dan interaktif berbanding kaedah konvensional semata-mata, justeru penggunaan ilustrasi, infografik dan elemen bunyi di SRBJ menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan.

Walaupun pada peringkat awal murid mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan gajet, beliau berkata kemudahan WiFi berkelajuan tinggi yang disediakan di setiap kelas dan kawasan sekolah membantu mempercepatkan adaptasi mereka.

Sebanyak 2,500 unit iPad telah diagihkan secara berfasa kepada murid dan guru di empat SRBJ, lengkap dengan akses kepada ekosistem pembelajaran Apple serta latihan khas guru menerusi program Apple Teacher.

Inisiatif ini turut menyaksikan keempat-empat SRBJ diiktiraf sebagai Apple Distinguished Schools, menjadikan Johor negeri pertama di Malaysia yang mempunyai sekolah harian bertaraf dunia berasaskan teknologi digital sepenuhnya.

Dilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 2024, SRBJ berteraskan empat komponen utama iaitu penguasaan Bahasa Inggeris, kecemerlangan STEM, kebolehpasaran dan sahsiah murid, serta pentaksiran dan kompetensi murid.

Uzaini berkata SK Tasek Utara yang mempunyai 833 murid dan ditubuhkan pada 2003, telah ditransformasi sepenuhnya dalam tempoh singkat bermula 1 Jun hingga 31 Dis 2025, termasuk melengkapkan kesemua 22 kelas dengan papan pintar bersaiz 216 sentimeter.

Beliau berkata, transformasi fizikal sekolah turut melibatkan pembangunan kelas rintis, amfiteater terbuka, pusat sumber, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), makmal sains, bilik guru, kantin serta kemudahan sokongan lain bagi menyokong pembelajaran holistik.

Latihan intensif guru turut diberi penekanan apabila pendidik dihantar mengikuti latihan di NIE selain kolaborasi dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Apple Distinguished Educators.

Sebagai sekolah bertaraf sederhana sebelum ini, Uzaini berkata pemilihan SK Tasek Utara sebagai SRBJ adalah satu peluang keemasan, bersama tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, serta SMK Tasek Utara.

Selain lonjakan STEM, beliau berkata peningkatan ketara turut dilihat dalam penguasaan asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M) apabila jumlah murid yang mengalami masalah tersebut berkurang daripada 30 orang pada 2023 kepada hanya sembilan murid pada 2025.

Sementara itu, guru Sains dan Matematik Nur Hidayah Jamil pula berkata pendedahan awal kepada teknologi mampu memupuk minat jangka panjang murid terhadap bidang STEM yang sebelum ini dilihat kurang mendapat perhatian.

“Saya berharap penubuhan SRBJ dapat menarik semula minat murid terhadap STEM. Penggunaan iPad dan papan pintar sangat berkait rapat dengan pembelajaran bidang ini,” katanya yang telah berkhidmat selama 16 tahun di SK Tasek Utara.

Guru Matematik, Tan Lean Chuen pula berharap inisiatif SRBJ dapat mendorong murid memilih STEM sebagai laluan kerjaya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara keseluruhan, pelaksanaan SRBJ melibatkan peruntukan RM54 juta, dengan RM31.22 juta bagi Fasa 1 dan RM22.78 juta bagi Fasa 2, merangkumi kerja penaiktarafan infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517180