JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Pertindihan Aplikasi Dalam Pelepasan Melalui Autogate Kod Qr - KP Imigresen

26/01/2026 07:32 PM

PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak berlaku pertindihan beberapa aplikasi dalam proses pelepasan imigresen menggunakan kemudahan autogate kod respon pantas (QR) seperti ditularkan di media sosial.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan semasa itu merupakan fasa peralihan bersifat sementara.

“Ini bagi membolehkan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dilaksanakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelancaran operasi pintu masuk, tahap keselamatan sempadan dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Zakaria berkata MyNIISe dibangunkan sebagai platform tunggal bagi menyatukan urusan dan perkhidmatan imigresen di bawah satu aplikasi digital bersepadu yang akan menggantikan sistem legasi sedia ada secara berperingkat.

Beliau berkata MyBorderPass ialah sistem yang beroperasi sejak 2024 sebagai intervensi sementara dan melalui ujian konsep (Proof of Concept) bagi menangani kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara melalui penggunaan autogate Kod QR terpilih.

“Pelaksanaan ini bersifat taktikal bagi memastikan kelangsungan operasi sempadan berjalan lancar sementara pembangunan dan integrasi penuh MyNIISe dimuktamadkan,” katanya.

Zakaria berkata MyDigital ID pula bukan aplikasi berkaitan imigresen, sebaliknya platform identiti digital kebangsaan yang berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti digital atau single sign-on bagi memastikan akses lebih selamat dan sahih kepada perkhidmatan kerajaan termasuk MyNIISe.

Beliau berkata JIM akan terus memperkukuh agenda pembaharuan serta perkhidmatan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna demi manfaat rakyat serta keselamatan negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2517044