JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang Motosikal Maut Digilis Treler Di Lebuhraya Kajang SILK

26/01/2026 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah lori treler dalam kemalangan di Kilometer (KM) 25.4 Lebuhraya Kajang SILK dari arah Semenyih ke Subang Jaya, pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.10 pagi. Mangsa dikenal pasti sebagai Zamzuri Zaid, 47 tahun.

Beliau berkata lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi dan tiba pada 9.25 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata operasi dikawal sepenuhnya pada 9.30 pagi dan dikendalikan oleh Komander Operasi Mohamad Hazrumi Halimi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang berada di lorong kanan hilang kawalan sebelum terjatuh ke laluan treler tersebut.

Beliau berkata lelaki tempatan berusia 53 tahun yang memandu treler itu tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu melanggar penunggang motosikal.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pelbagai pada bahagian badan,” katanya dalam kenyataan. 

Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria menerusi talian 012-3268496 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516909