MOSCOW, 26 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut di Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa hari kebelakangan ini di tengah-tengah suhu sejuk membeku, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik CNN.
CNN mengumpul kenyataan kematian berkaitan cuaca daripada beberapa negeri. Kirk Watson, datuk bandar Austin, Texas, melaporkan kematian seorang individu akibat ribut.
Dua orang meninggal dunia akibat hipotermia di Louisiana susulan ribut pada hujung minggu ini, lapor saluran itu dengan memetik data daripada jabatan kesihatan negeri berkenaan.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, salji tebal dan ais yang berbahaya dijangka berlaku di seluruh wilayah dari timur Texas hingga ke North Carolina.
Sekurang-kurangnya 21 negeri mengisytiharkan darurat. Sekolah awam di Bandar Raya New York akan ditutup pada Isnin.
Presiden AS Donald Trump menyifatkan kejadian salji tersebut sebagai "luar biasa dan mencatat rekod sejarah".
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI