JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Memandu Melulu Sebabkan Kematian Tiga Beranak

26/01/2026 01:08 PM

KULIM, 26 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak pada 18 Jan lepas.

Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, yang bekerja di bahagian pemasaran sebuah bengkel kenderaan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Proton S70 secara melulu sehingga melanggar sebuah Perodua Viva dan menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2, di Jalan Kulim–Mahang, dekat sini pada kira-kira 5 petang, 18 Jan lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh, memohon jumlah minimum kerana lelaki itu berpendapatan rendah dan perlu menyara seorang isteri serta seorang anak.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Mac bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516797