KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Perincian mengenai penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) di peringkat Persekutuan kini berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi kelulusan dasar dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata selepas kelulusan dasar diperoleh, cadangan penubuhan JPSM akan dibawa ke Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenan.
“Penubuhan JPSM bertujuan menjadi entiti khusus dan pusat rujukan berkaitan pendakwaan jenayah syariah di peringkat Persekutuan, selain menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan pendakwaan syariah di seluruh negara tanpa menjejaskan autonomi serta kuasa negeri seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai kesediaan kerajaan mewujudkan Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan agar fungsi pendakwaan Islam berada pada kedudukan yang kukuh dan bebas, seperti Jabatan Peguam Negara, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Zulkifli berkata setakat ini, sebanyak 13 negeri dan Wilayah Persekutuan telah mengasingkan sepenuhnya fungsi pendakwaan syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri, manakala Sabah berada pada peringkat akhir proses penjabatan.
Menjawab soalan tambahan mengenai isu tunggakan kes jenayah syariah, beliau berkata pengurusan kes di mahkamah syariah menunjukkan perkembangan positif sejak 2019 hingga 2025, termasuk peningkatan kecekapan pendaftaran dan penyelesaian kes hasil penambahbaikan pentadbiran serta penyelarasan sistem yang sedang dilaksanakan.
-- BERNAMA