AM

MetMalaysia Sasar Percepat Hebahan Gempa Bumi, Amaran Tsunami

26/01/2026 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan mempercepat tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada lapan minit kepada enam minit selepas kejadian dikesan bermula tahun ini, sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pada masa sama, ketepatan ramalan cuaca juga disasarkan meningkat daripada 82 peratus kepada 85 peratus, selaras dengan usaha mempertingkat keupayaan sistem amaran awal (EWS) negara.

“Bagi memastikan kesiapsiagaan berterusan, MetMalaysia mengoperasikan sistem amaran awal secara berterusan 24 jam, tujuh hari seminggu, meliputi aspek pengesanan awal, pengeluaran amaran tepat pada masanya serta penyelarasan berterusan dengan agensi pengurusan bencana di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai keberkesanan sistem amaran awal dalam menyampaikan makluman secara pantas dan menyeluruh berkaitan ancaman bencana, khususnya di kawasan luar bandar pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Arthur berkata bagi menaik taraf sistem amaran awal cuaca, kerajaan telah memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM242 juta, merangkumi pelaksanaan beberapa projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memperuntukkan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia.

Arthur berkata MetMalaysia terus memperkasakan keupayaan ramalan cuaca menerusi penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RANS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan jangka pendek bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.

Beliau berkata Sistem Ramalan Cuaca Berangka turut dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi Pengkomputeran Berprestasi Tinggi serta penerapan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

“Pengukuhan ini membolehkan penjanaan ramalan cuaca hingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi lebih tinggi iaitu 300 meter berbanding satu kilometer sebelum ini,” katanya.

Arthur berkata semua amaran dikeluarkan MetMalaysia boleh diakses melalui aplikasi Met API (Application Programming Interface) serta portal data terbuka sektor awam untuk dimanfaatkan agensi kerajaan, sektor swasta dan orang awam.

Beliau berkata sejajar dengan usaha itu, MetMalaysia turut melaksanakan perkongsian data ramalan hujan secara masa nyata dengan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyokong pengoperasian Pusat Ramalan Banjir Negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516746