SEREMBAN, 25 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan projek menaik taraf Stadium Hoki Haji Mohd Said di Seremban 2 di sini berupaya meningkatkan prestasi atlet sekali gus menyokong pembangunan sukan secara menyeluruh di peringkat negeri dan kebangsaan khususnya bagi sukan hoki.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mustapha Nagoor berkata tiada alasan untuk menangguhkan lagi projek berkenaan memandangkan peruntukan diluluskan sebanyak RM5 juta dan rakyat telah lama menunggu untuk menggunakan kemudahan tersebut.
“Peruntukan itu telah dilulus dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), namun proses perolehan mengambil masa. Justeru, sekiranya projek dapat dimulakan seawal Mei, ia adalah satu langkah yang baik dan tidak wajar dilengahkan lagi.
“Antara perkara yang menyumbang kepada pengukuhan prestasi pasukan adalah menerusi kemudahan fasiliti latihan yang kondusif dan selamat... kalau fasiliti bagus, atlet akan berlatih dalam keadaan baik sekali gus mempertingkatkan kemampuan dan pencapaian mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau turut berharap semua pihak berkaitan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses pelaksanaan supaya projek naik taraf stadium itu dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan untuk kegunaan rakyat.
Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilapor memaklumkan projek naik taraf stadium berkenaan dijangka bermula Mei ini, tertakluk kepada proses penilaian tender dan pelantikan kontraktor.
Projek itu ditender pada 24 Dis 2025, dengan tarikh tutup iklan tender pada 12 Feb ini.
Stadium berkenaan ditutup sejak 2020 akibat kerosakan rumput tiruan, sistem perparitan serta lampu limpah dan pada Februari 2024, KBS memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf fasiliti itu.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata kerja menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi merangkumi kerja mengecat, baik pulih bilik persalinan dan penambahbaikan sistem lampu limpah sedang dilaksanakan membabitkan peruntukan RM5 juta.
“Kerajaan negeri juga telah meluluskan pembangunan pusat latihan baharu untuk pasukan bola sepak kita (NSFC) di Mantin, jadi pasukan NSFC akan ada fasiliti latihan kita sendiri, insya-Allah kita harap semua kemudahan berkenaan dapat digunakan segera,” katanya.
-- BERNAMA