SUKAN

KBS Tunggu Laporan Terperinci Sebelum Keluar Kenyataan Berkaitan Isu FAM

24/01/2026 03:35 PM

ALOR SETAR, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan laporan terperinci sebelum mengeluarkan kenyataan dan pendirian berhubung isu yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menteri berkenaan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya juga tidak akan mencampuri apa-apa proses yang bukan di bawah bidang kuasa kementerian itu dalam isu tersebut.

“Kita perlu tahu pemisahan kuasa itu amat penting, sebab itu saya perlu melihat, menunggu laporan, keputusan dan sebagainya sebelum kita mengeluarkan apa-apa kenyataan lanjut berkenaan perkara tersebut.

“KBS sentiasa memantau setiap isu berbangkit dalam persatuan-persatuan tidak hanya FAM tetapi semua persatuan sukan. Kita akan sentiasa memantau dan mengambil langkah sepatutnya di bawah KBS,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Jawatankuasa Eksekutif FAM akan meletak jawatan secara beramai-ramai seawal minggu depan.

Dr Mohammed Taufiq berkata KBS akan terus memastikan pembangunan bola sepak yang merupakan sukan paling diminati rakyat akan terus dilakukan dan menjadi wadah atau medium penyatuan rakyat negara ini.

“Kita akan memastikan bahawa pembangunan bola sepak ini tidak boleh terhenti, tidak boleh diganggu-gugat dan Insya-Allah Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa meneliti apa jua isu.

“Namun, kita tahu kita punya batas tertentu dan kita tidak akan melanggar garis batasan tersebut. Tapi apa pun saya berharap agar sukan khususnya bola sepak akan terus maju dan menjadi salah satu sukan digemari, diminati dan mendapat sokongan penuh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata KBS juga sentiasa bersedia membantu mana-mana persatuan sukan dalam apa jua aspek selagi mana di bawah bidang kuasa kementerian itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516270