JENAYAH & MAHKAMAH

42 Van Thailand Diambil Tindakan Tidak Patuh Undang-undang - JPJ Kelantan

24/01/2026 11:35 AM

JELI, 24 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengambil tindakan terhadap 42 kenderaan asing membabitkan van dari negara jiran sepanjang Ops Tunggak yang dilaksanakan di seluruh negeri itu bermula dari 16 Jan hingga semalam.

Pengarah JPJ Mohd Misuari Abdullah berkata dalam operasi itu, sebanyak 67 kenderaan asing diperiksa hasil risikan dan perancangan rapi yang menumpukan kepada penggunaan kenderaan asing, khususnya van dari Thailand yang didapati gagal mematuhi undang-undang jalan raya.

Beliau berkata antara kes tertinggi dengan 23 notis dikeluarkan ialah kesalahan mempamerkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), tetapi tidak mengikut kehendak ditetapkan, pemasangan tirai langsir (12 notis), cermin gelap (11 notis), lain-lain kesalahan teknikal (12 notis) dan tiada ICP (dua notis).

"Banyak kes yang kita kesan menyalahgunakan ICP kerana van yang digunakan ialah milik individu atau persendirian dan tidak dibenarkan membawa penumpang.

"Namun, taktik yang dilakukan mereka (pemilik van) ialah tidak membawa penumpang ketika mendaftar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) kerana penumpang berkenaan diturunkan dan berjalan kaki di ICQS sebelum mengambil mereka semula selepas melepasi kompleks berkenaan," katanya selepas Ops Khas Tunggak dan Teknikal 2026 di Stesen Penguatkuasaan JPJ Bukit Bunga, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata operasi ini dijalankan bagi memastikan undang-undang dan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi tidak kira kenderaan asing mahupun kenderaan tempatan.

Operasi ini juga katanya, dilaksanakan bagi menjaga aspek keselamatan pengguna jalan raya kerana kenderaan tidak mematuhi syarat lesen, permit serta spesifikasi keselamatan boleh mendatangkan risiko kemalangan dan membahayakan keselamatan.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Kami akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan berharap semua pemilik serta pemandu kenderaan sentiasa mematuhi undang-undang," katanya.

Beliau berkata sepanjang operasi terbabit, van JPJ Mobile turut berada di lokasi bagi memastikan van terlibat yang mempunyai saman baharu dan saman lampau boleh terus menyelesaikan saman mereka.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516195