KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 13 daripada keseluruhan 36 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan telah ditutup sepenuhnya secara berperingkat setakat 2 petang ini.
Pusat pengundian itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad dan SK Sri Ganda di Litang yang ditutup pada 12 tengah hari, diikuti enam pusat pengundian iaitu SK Kuamut, SK Masaum, SK Sangau, SK Tundun Bohangin, SK Litang serta SK Ladang Tomanggong, pada 1 tengah hari.
Selain itu, lima pusat pengundian iaitu SK Keramuak, SK Sungai Lokan, Dewan Serbaguna Kampung Balat Kinabatangan, SK Bilit dan SK Abai ditutup pada 2 petang.
Sementara itu, tiga daripada sembilan pusat pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag turut ditutup awal setakat 2 petang ini melibatkan SK Sangau (1 tengah hari) serta SK Sungai Lokan dan Dewan Serbaguna Kampung Balat, masing-masing 2 petang.
Penutupan kesemua pusat pengundian berkenaan disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA