EKONOMI

Syarikat Austria Berminat Perluas Kerjasama Dalam Tenaga Hidro Di Malaysia

24/01/2026 11:23 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Syarikat Austria berminat untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan tenaga hidro dengan Malaysia, menawarkan teknologi terkini dan kepakaran untuk menyokong matlamat tenaga boleh baharu (TBB) negara dan memenuhi permintaan terhadap elektrik yang meningkat daripada sektor seperti pusat data.

Duta Austria ke Malaysia Gerhard Eisl berkata syarikat turut berminat untuk mewujudkan pejabat di Malaysia.

Katanya sebuah kumpulan automotif utama Malaysia dan Austria telah menjalin kerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV), langkah yang akan membawa hubungan dua hala kepada tahap lebih tinggi.

Mengenai tenaga hidro, Eisl berkata Austria mempunyai kepakaran dalam TBB berasaskan air berikutan negara itu yang mempunyai populasi 8.97 juta orang menjana sebahagian besar bekalan elektriknya daripada tenaga hidro yang dihasilkan daripada sungai di kawasan pergunungan dan Sungai Danube, sungai kedua terbesar di Eropah. 

Negara itu merupakan peneraju dalam pengeluaran serta eksport teknologi dan kepakaran tenaga hidro serta mempunyai ekonomi pasaran sosial yang amat maju dengan tumpuan kepada pembangunan mampan dan inovasi.

“Beberapa syarikat Austria telah beroperasi di Malaysia dan ini merupakan situasi yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Dengan teknologi TBB kami dan kerjasama daripada pihak anda, kita boleh mencapai banyak kemajuan dan kami dapat memperluas kerjasama kami dengan Malaysia dalam aspek ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Mengenai hubungan perniagaan dua hala, Eisl menyifatkan hubungan Malaysia-Austria sebagai cemerlang, bukan sahaja dari segi dasar luar malah, dalam perdagangan dan pelaburan apabila lebih 50 syarikat Austria telah beroperasi di negara ini.

Kebanyakan syarikat itu terlibat dalam industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi maju, automotif dan produk pengguna gaya hidup.

Ini termasuklah AT&S, pengeluar litar bersepadu berkualiti tinggi untuk industri semikonduktor, syarikat pakar teknologi ‘ropeway’ Doppelmayr, kumpulan teknologi Andritz AG, SoftwareQ, KTM Motorcycles dan pengeluar kaca kristal Swarovski.

Beliau berkata ramai pelabur Austria terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan prestasi yang baik dan berminat untuk memperluas operasi mereka.

“Kebanyakan daripada mereka berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Kami mempunyai pelabur utama di sana seperti Doppelmayr yang sedang membina sistem kereta kabel di Bukit Bendera serta Swarovski, AT&S dan Infineon,” katanya.

Eisl berkata sebuah syarikat Austria dijangka membuka pejabat di Kuala Lumpur pada akhir Mac dan lebih banyak lagi dijangka mengambil langkah yang sama.

“Kami menyokong syarikat kami yang ingin melabur atau memperluas operasi mereka di Malaysia. Dari segi budaya, kami turut meningkatkan kerjasama dalam kalangan universiti melalui rangkaian yang dikenali sebagai Asia-Uninet, melibatkan sembilan universiti Malaysia dan 20 universiti Austria.

“Kami menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama kami. Malaysia dan Austria, kedua-duanya mengamalkan pendirian neutral dengan ekonomi terbuka, penting untuk bekerjasama dengan lebih erat,” katanya.

Bagi sektor EV, Eisl berkata sebuah kumpulan automotif utama Malaysia dan kumpulan automotif Austria telah menjalin kerjasama dalam sektor itu.

“EV merupakan pasaran yang besar dan berkembang pesat di Eropah, Austria dan Malaysia. Saya yakin lebih banyak kerjasama akan dilaksanakan berikutan kita semua mengetahui bahawa EV mempunyai prospek yang luas,” katanya.

Malaysia dan Austria telah menjalin hubungan diplomatik pada 6 Ogos 1962. Sejak itu, kedua-dua negara telah menyaksikan kemajuan yang ketara dalam semua bidang kerjasama termasuk perbincangan peringkat tinggi yang berterusan.

Menurut laporan media, eksport Austria ke Malaysia mencecah 737 juta euro (RM3.5 bilion) pada 2024 manakala pelaburan langsung Austria mencapai 2.2 bilion euro (RM10.5 bilion), menjadikan Malaysia destinasi perdagangan utama Austria di ASEAN.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516206