PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Lebih Tinggi

23/01/2026 06:26 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Jumaat, disokong oleh pemulihan harga minyak mentah, kata seorang peniaga. 

Ketika ini, minyak mentah Brent meningkat 0.83 peratus kepada US$64.73 setong. 

Peniaga itu berkata harga getah juga didorong oleh kebimbangan pedagang mengenai potensi kekurangan bahan mentah berikutan cuaca hujan di negara pengeluar utama. 

“Cuaca buruk di pengeluar utama seperti Thailand dan Indonesia telah mengehadkan bekalan getah asli, meningkatkan harga dan mengukuhkan sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata sentimen pasaran dipacu oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif, keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi China tahun ini, serta berita mengenai kesediaan Kesatuan Eropah untuk menyambung semula perjanjian perdagangan dengan AS. 

“Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan peningkatan ketidaktentuan geopolitik global,” tambahnya. 

Terdahulu, mata wang tempatan mencecah paras psikologi 3.99 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh seketika pada pukul 2.27 petang hari ini, mengukuh kepada 3.9992, paras paling kukuh dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 15.5 sen kepada 758 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal menokok dua sen kepada 578 sen/kg.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516035