JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan Bebaskan Suri Rumah Daripada Pertuduhan Edar Dadah

23/01/2026 10:45 PM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang suri rumah daripada pertuduhan mengedar 80.6 gram heroin dan monoasetilmorfina.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Seremban terhadap Siti Aisyah Samdin.

“Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Azman yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Choo Kah Sing dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Azman berkata kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil pemilik kenderaan tempat dadah itu dijumpai adalah satu kecacatan yang serius, memandangkan kenderaan terbabit telah dipinjam oleh perayu dan dia ditahan tidak lama kemudian.

Beliau berkata terdapat salah arah dalam sabitan berkenaan dari segi isu pemilikan ekslusif dan kawasan terhadap kenderaan terbabit.

Siti Aisyah, yang bakal berusia 38 tahun bulan depan, sebelum ini telah disabitkan kesalahan mengedar dadah dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Julai 2024.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan berkenaan dilakukan di dalam sebuah kereta BMW di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah pasar raya besar di Taman Lavender Heights, Seremban, Negeri Sembilan, pada 5.15 petang, 12 Ogos 2020.

Fakta kes mendedahkan pihak polis yang menjalankan pengawasan telah menahan Siti Aisyah yang ketika itu sedang mendukung seorang bayi dan kelihatan gelisah, kerap memandang sekeliling tanpa tujuan jelas.

Dalam pembelaannya, ibu kepada lima anak itu menyatakan dia meminjam kereta itu daripada isteri pertama suaminya. Siti Aisyah menjelaskan dia telah pergi ke Semenyih untuk mengambil barangan dan singgah sebentar untuk membeli keperluan bayinya yang berusia enam bulan, sebelum ditahan.

Di Mahkamah Rayuan hari ini, Siti Aisyah diwakili peguam Paul Krishnaraja, Amy Chong dan Virochean Stephan Soosai, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2516033