PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh usaha melindungi dan memartabatkan hak kanak-kanak di peringkat antarabangsa selaras dengan piawaian global menerusi pelbagai inisiatif dasar, perundangan serta program sokongan yang komprehensif.
Kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini memaklumkan komitmen itu dizahirkan melalui penyertaan negara dalam Sesi Ke-100 Jawatankuasa mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.
Menerusi kenyataan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan penyertaan Malaysia dalam sesi dialog berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh agenda perlindungan serta kesejahteraan kanak-kanak di peringkat global.
Beliau berkata antara langkah yang telah diambil kerajaan ialah penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, pelaksanaan reformasi undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak serta penambahbaikan dasar dan program sokongan yang memberi tumpuan kepada kepentingan terbaik golongan itu.
“Usaha ini bertujuan memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat perlindungan menyeluruh, akses kepada perkhidmatan asas yang berkualiti serta persekitaran yang selamat untuk membesar dan berkembang secara optimum,” katanya.
Nancy turut menyifatkan penyertaan Malaysia dalam sesi CRC kali ini sebagai pencapaian bersejarah memandangkan kali terakhir negara menyertainya ialah pada 2007.
“Ia juga merupakan penyertaan pertama yang diketuai oleh seorang menteri sekali gus menandakan peningkatan tahap komitmen politik kerajaan dalam menangani isu hak dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.
Sesi dialog tersebut menyaksikan Jawatankuasa CRC memuji usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh perlindungan dan kebajikan kanak-kanak selain mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk dipertimbang serta dilaksanakan.
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) adalah antara instrumen hak asasi manusia utama di bawah PBB yang merangkumi 54 artikel merentas pelbagai aspek berkaitan hak, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak.
Menurut kenyataan itu, sebagai negara pihak kepada konvensyen itu, Malaysia bertanggungjawab mengemukakan laporan berkala mengenai perkembangan dan situasi hak kanak-kanak kepada Jawatankuasa CRC.
Konvensyen CRC berlangsung dua hari di Geneva bermula semalam, dengan delegasi Malaysia turut disertai Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan wakil beberapa kementerian lain.
-- BERNAMA