AM

Projek LCS: PAC Rancang Lawatan Tapak Ke Lumut Pada 30 Jan

23/01/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merancang untuk mengadakan lawatan tapak ke Lumut pada 30 Jan ini bagi menilai perkembangan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai susulan kepada prosiding terdahulu berkaitan projek berkenaan.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata lawatan itu bertujuan membolehkan PAC melihat sendiri perkembangan sebenar projek di lapangan, selain menilai maklumat dan laporan yang diterima sebelum ini.

Beliau berkata PAC memantau pembinaan kapal berkenaan dari semasa ke semasa dan lawatan itu merupakan lawatan ketiga jawatankuasa tersebut ke tapak projek.

On paper mungkin cantik laporan yang kita terima, tetapi bila kita turun ke lapangan dan melihat sendiri, maklumat itu akan kita bawakan dalam prosiding yang akan kita tentukan tarikhnya kelak,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu pembinaan kapal LCS di Lumut.

Mas Ermieyati ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersama Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Negeri Se-Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Dr Ahmad Husaiuni Abdul Rahman.

Mas Ermieyati menambah PAC sebelum ini menangguhkan lawatan susulan berikutan beberapa perkara teknikal yang memerlukan penambahbaikan, selain mengambil kira tempoh serta tarikh akhir tertentu projek berkenaan.

Pada Februari 2024, Bernama melaporkan PAC menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan berterusan projek LCS apabila setakat Disember 2023, projek berkenaan lewat selama 86 hari dengan hanya mencapai 67.28 peratus kemajuan berbanding jadual garis masa baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), iaitu 68.77 peratus.

Kebimbangan utama PAC turut melibatkan isu reka bentuk terperinci kapal yang masih belum dimuktamadkan oleh MINDEF bersama syarikat Perancis, Naval Group, yang bertanggungjawab mereka bentuk kapal berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kontraktor projek berkenaan, Boustead Naval Shipyard (BNS), telah ditukar nama kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS) selepas diambil alih oleh Ocean Sunshine Bhd, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, pada 18 Ogos 2023.

--  BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515879