Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 14 Jan (Bernama) -- Pembangunan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Aerospace Techno Park di Tanjung Laboh yang disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2050, dijangka menjadi pemacu utama transformasi ekonomi, pendidikan dan industri aeroangkasa di selatan tanah air.
Projek berskala besar ini merangkumi pembangunan lapangan terbang universiti pertama di Asia Tenggara yang dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh institusi pengajian tinggi, dilihat berpotensi mewujudkan hab aeroangkasa bersepadu merangkumi pendidikan, latihan, penyelidikan dan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan UTHM Tanjung Laboh Prof Dr Erween Abd Rahim berkata pembangunan secara berperingkat hingga 2050 itu bakal mengubah sepenuhnya peranan Lapangan Terbang Tanjung Laboh yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai airfield kecil sejak era Perang Dunia Kedua.
“Menjelang 2050, kawasan ini bukan sekadar lapangan terbang latihan, sebaliknya sebuah ekosistem aeroangkasa lengkap yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada pusat bandar Batu Pahat serta Parit Raja,” katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau berkata dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor melalui Pejabat Daerah Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), kawasan sekitar Techno Park dijangka berkembang sebagai lokasi model pelancongan-penerbangan, selari dengan aspirasi Johor sebagai hab industri berteknologi tinggi.
Menurut Erween, ketika ini UTHM mempunyai sekitar 300 pelajar dalam bidang berkaitan penerbangan dan jumlah itu dijangka meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda apabila keseluruhan projek siap kelak.
“Pembangunan ini akan membuka peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, merangkumi operasi lapangan terbang, pentadbiran kampus, sokongan teknikal, vendor makanan, logistik, keselamatan serta perniagaan komuniti seperti ianp desa dan perkhidmatan sokongan,” katanya.
Beliau berkata lapangan terbang itu dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 200 hektar, dengan fasa pertama dijadual siap pada April 2026 dan mula beroperasi pada suku ketiga tahun sama, melibatkan pembinaan landasan sepanjang 800 meter serta menara Kawalan Trafik Udara (ATC).
“Fasa kedua disasarkan siap pada 2035 pula merangkumi pembangunan teaching factory, bangunan fakulti dan pentadbiran, asrama pelajar serta lapangan terbang air sebelum keseluruhan Techno Park ini siap sepenuhnya pada 2050,” katanya.
Menurut beliau, status UTHM sebagai universiti pertama di rantau ini mengendalikan lapangan terbang sendiri, dijangka menarik minat pelajar tempatan dan antarabangsa berikutan kos pengajian lebih kompetitif serta lokasi yang strategik berbanding Eropah dan Amerika Syarikat.
Seiring dengan pembangunan infrastruktur, UTHM turut merancang memperluas penawaran program akademik termasuk penerbangan dron, kawalan trafik udara dan pengurusan pengangkutan udara di peringkat diploma dan sarjana muda.
Ketika ini, universiti berkenaan menawarkan beberapa program utama aeroangkasa termasuk Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional), Penyelenggaraan Pesawat dan Pembuatan Pesawat.
Bagi memastikan kebolehpasaran graduan, UTHM bekerjasama dengan pelbagai pihak industri termasuk Malaysia Airlines, Senai Airport serta syarikat penyelenggaraan pesawat, selain mendapat sokongan institusi latihan penerbangan seperti HM Aerospace Sdn Bhd dan International Aero Training Academy.
Pembangunan Lapangan Terbang Tanjung Laboh sebagai pusat aeroangkasa sebelum ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi titah baginda sempena Majlis Titah Tuanku Canselor UTHM pada ulang tahun ke-25 universiti itu pada 20 Sept 2018.
-- BERNAMA