Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat susulan aktiviti pengambilan untung sederhana selepas ditutup kukuh sehari sebelum itu.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.64 mata kepada 1,714.50 daripada paras 1,717.14 ketika ditutup pada Khamis, selepas dibuka 1.30 mata lebih rendah pada 1,715.84.
Sentimen pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 129 berbanding 125. Sebanyak 281 kaunter tidak berubah, 2,195 tidak diniagakan dan 21 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 105.66 juta saham bernilai RM75.33 juta.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras itu yang dibuka rendah mencerminkan aktiviti pengambilan untung jangka pendek susulan kenaikan kukuh pada Rabu, ketika indeks menghampiri paras rintangan terdekat.
“Pelarasan awal ini lebih didorong oleh pelabur yang mengambil untung dan menyusun semula pegangan masing-masing, dan bukannya disebabkan kemerosotan faktor asas, apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati selepas kenaikan baru-baru ini.
“Paling penting, perkembangan ini selari dengan unjuran mingguan kami yang menjangkakan persekitaran dagangan sederhana dan mendatar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata data dari Jumaat ke Jumaat menunjukkan penambahbaikan pasaran secara beransur-ansur, dengan FBM KLCI ditutup pada 1,712.74 Jumaat lepas, sekali gus mencerminkan momentum asas yang masih utuh walaupun berdepan turun naik jangka pendek.
“Seiring dengan perjalanan dagangan hari ini, momentum dijangka kembali meningkat menerusi pengumpulan terpilih, sekali gus menyokong corak dagangan yang lebih seimbang dan stabil,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing susut empat sen kepada RM13.82 dan RM8.45, Hong Leong Bank merosot enam sen kepada RM24.14, manakala Petronas Dagangan dan MISC tidak berubah masing-masing pada RM21.20 dan RM7.83.
Bagi senarai saham paling aktif, Nationgate meningkat dua sen kepada RM1.21, AirAsia X naik satu sen kepada RM1.67, Velesto Energy dan Iconic Worldwide masing-masing menambah setengah sen kepada 32 sen dan lapan sen, manakala Capital A meningkat 1.5 sen kepada 53.5 sen.
Saham paling untung termasuk Kobay Technology yang melonjak 14 sen kepada RM1.86, Tradeplus Shariah Gold Tracker dan Kein Hing International masing-masing naik sembilan sen kepada RM6.08 dan RM1.30, NCT Alliance meningkat 3.5 sen kepada 62 sen, manakala Heitech Padu mengukuh tiga sen kepada RM1.73.
Antara saham paling rugi ialah Nestle yang merosot 50 sen kepada RM116.50, PPB Group dan Scientex masing-masing turun lapan sen kepada RM11.12 dan RM3.82, serta Ta Ann Holdings dan Hong Leong Bank yang masing-masing susut enam sen kepada RM4.33 dan RM24.14.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas susut 10.36 mata kepada 12,638.98, Indeks FBM Top 100 merosot 12.64 mata kepada 12,430.92 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 9.71 mata kepada 12,305.54.
Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 11.43 mata kepada 17,594.17, manakala Indeks FBM ACE naik 9.70 mata kepada 4,947.00.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.73 mata kepada 20,732.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.28 mata kepada 176.58, manakala Indeks Tenaga meningkat 2.91 mata kepada 781.29 dan Indeks Perladangan naik 0.75 mata kepada 8,359.37.
-- BERNAMA