KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan mencecah 4.5 peratus, dipacu oleh penggunaan swasta yang kukuh dan sektor pelancongan.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Firdaos Rosli berkata asas domestik kekal menyokong pertumbuhan berikutan penggunaan berterusan bantuan tunai oleh kerajaan sebagai instrumen dasar utama bagi mengekalkan perbelanjaan isi rumah.
Beliau berkata langkah itu telah membantu mengekalkan penggunaan swasta pada tahap yang stabil, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh segmen masyarakat yang lebih luas.
“Di banyak bahagian dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), perbahasan kini tertumpu kepada sejauh mana jurang pemulihan ekonomi dilihat semakin tidak seimbang,” katanya pada taklimat media mengenai prospek makroekonomi Malaysia bagi 2026 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata risiko pertubuhan telah beralih kepada prospek yang lebih seimbang susulan perkembangan global yang dinamik, khususnya apabila kesan tarif menjadi lebih jelas dan risiko geopolitik, termasuk ketegangan antara AS dan Venezuela, memberi tekanan kepada pasaran minyak dan gas.
Bank itu turut menaikkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus berbanding anggaran terdahulu 4.6 peratus, dengan perjanjian perdagangan terkini memberikan lebih kejelasan serta dijangka menyokong pertumbuhan pada 2026.
AmBank juga mengunjurkan sektor pembuatan berkembang sebanyak 2.8 peratus tahun ini.
Firdaos berkata langkah tarif yang dikenakan oleh AS sebahagian besarnya telah diambil kira oleh pasaran dan pada peringkat ini ia dijangka tidak memberi kesan negatif yang ketara kepada ekonomi Malaysia.
Pada masa sama, beliau berkata kesan penghantaran barangan lebih awal dijangka sederhana tahun ini, namun tidak menjangkakan sebarang kemerosotan mendadak memandangkan Malaysia telah mempelbagaikan pasaran eksportnya.
“Prospek untuk kita menandatangani mungkin satu atau dua lagi perjanjian perdagangan bebas dijangka memberi dorongan tambahan kepada pengeksport untuk terus mempelbagaikan portfolio mereka dan tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua pasaran sahaja.
“Dari sudut pandangan kami, ini berkemungkinan menjadi norma baharu, dengan andaian tiada perubahan selepas keputusan Mahkamah Agung AS,” katanya sambil menambah bahawa kadar tarif yang dihadapi Malaysia kekal relatif lebih rendah berbanding banyak ekonomi jiran.
Beliau berkata pengeksport telah mempercepatkan penghantaran sebelum tarikh akhir tarif utama, satu trend yang bermula lebih awal sebelum pilihan raya presiden AS.
Bagaimanapun, tempoh kesan sementara itu belum dapat dipastikan, katanya.
Dalam perkembangan lain, AmBank berpandangan sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.8 peratus pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026 adalah realistik, dengan andaian tiada kejutan tidak dijangka yang memerlukan sokongan fiskal tambahan.
Bank itu juga menjangkakan hutang berkanun kerajaan, yang berada pada 63.5 peratus daripada KDNK setakat Jun 2025 kekal dalam had siling hutang 65 peratus.
“Meskipun trend peningkatan nisbah khidmat hutang perlu dipantau, risiko kekal terkawal berikutan bahagian hutang luar yang rendah serta profil hutang domestik,” katanya.
-- BERNAMA