SUKAN

Prestasi Yo Yo NSFC Perlu Diperbaik Segera - Aminuddin

21/01/2026 05:09 PM

SEREMBAN, 21 Jan (Bernama) -- Prestasi tidak konsisten atau “yo yo” Negeri Sembilan FC (NSFC) memerlukan transformasi menyeluruh bagi memastikan pasukan itu mampu mencapai tahap lebih kompetitif, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin yang juga Pengerusi NSFC berkata meskipun pelbagai sokongan diberikan termasuk dari aspek kewangan yang turut merangkumi kelulusan tambahan peruntukan bagi pengambilan pemain baharu, namun kestabilan prestasi pasukan belum dicapai.

“Prestasi pasukan NSFC okay, tapi masih yo yo. Kita berharap ada keputusan tepat supaya prestasi seperti itu dapat dihentikan. Kita telah tambah peruntukan kepada NSFC kerana mereka mahu mengambil beberapa pemain baharu pada jendela (perpindahan) kedua.

“Kita berharap pemain, jurulatih dan pengurusan lebih fokus pada satu atau dua perlawanan dalam masa terdekat ini. Kita mahu kesungguhan itu bukan hanya di tempat sendiri tetapi juga semasa beraksi di tempat lawan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Aminuddin menegaskan pengurusan, pihak kejurulatihan dan pemain perlu memastikan impak positif dapat dicapai kerana telah diberikan masa mencukupi, dengan keutamaan kini ialah meningkatkan semangat serta kesungguhan pasukan.

Beliau berkata kemenangan bukan tuntutan mutlak dalam setiap perlawanan, namun komitmen dan kesungguhan pemain amat penting selain mengakui aspek taktikal pasukan masih belum mencapai tahap serta jangkaan yang ditetapkan.

NSFC berdepan dua kekalahan Liga Super iaitu semasa menentang Johor Darul Ta'zim (0-1) dan Selangor FC (0-1) selain sekadar seri dengan Imigresen FC tanpa jaringan pada 17 Jan. 

Dalam pada itu Aminuddin berkata peruntukan hampir RM5 juta disediakan bagi menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang merangkumi kerja mengecat, baik pulih bilik persalinan dan penambahbaikan sistem lampu limpah.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2515093