KOTA BHARU, 20 Jan (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada semalam wajar dijadikan sebagai "peringatan".
Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi Tan Sri Dr Rais Yatim menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas titah Seri Paduka Baginda itu.
“Patik sebagai rakyat merakamkan terima kasih atas teguran bahawa bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia bahasa kebangsaan.
“Titah Yang di-Pertuan Agong itu, satu yang belum pernah saya dengar sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Gemilang Lagikah NEGERIKU?, di sini hari ini.
Sementara itu, Rais menyeru penulis di Pantai Timur, khususnya di Kelantan termasuk pensyarah, penulis dan cendekiawan supaya tampil menyumbang pemikiran serta kepakaran bagi memperkaya khazanah ilmu dan memperkukuh jati diri bangsa.
Beliau berkata peranan golongan intelektual amat penting sebagai suara pemikiran masyarakat, selain menyarankan penulisan dimanfaatkan secara lebih meluas termasuk melalui platform media sosial seperti TikTok dan WhatsApp bagi memupuk minat membaca, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Oleh kerana sifat membaca pada hari ini sudah menurun, jadi apa yang terbaik adalah dengan memasukkan beberapa aspek mengenai tanah air, bahasa, bangsa, budaya dan sebagainya menerusi penulisan yang dihasilkan," katanya.
-- BERNAMA