AM

Agong Perkenan Lapan Akta Diluluskan Pada Sidang Parlimen Lepas

20/01/2026 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang berlangsung pada 6 Okt hingga 18 Dis 2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bermula pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Akta-akta yang diperkenankan termasuk Akta Perikanan (Pindaan) 2025; Akta Pekerja Gig 2025; Akta Kredit Pengguna 2025; Akta Perbekalan 2026; Akta Kewangan 2025; Akta Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025; Akta Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 serta Akta Antibuli 2025.

Sementara itu, Johari dalam pemasyhurannya sekali lagi mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan ketika berada dalam dewan.

“Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti yang diikrarkan tadi apabila berada dalam Dewan yang mulia ini, dalam setiap tindakan dan ucapan Ahli-ahli Yang Berhormat.

“Di samping itu, Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam telah memberi peringatan mengenai peranan Ahli Yang Berhormat. Oleh itu, saya sekali lagi mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Johari berkata beliau bersama Timbalan-timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang didapati tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 menegur Ahli-ahli Parlimen, khususnya berhubung larangan memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R), termasuk dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, buat pertama kali Dewan Rakyat melafazkan Rukun Negara sebelum persidangan bermula dengan bacaan ikrar dipimpin oleh Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin. 

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Dis 2025.

Johari memohon semua Ahli Parlimen yang beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah serta yang bukan beragama Islam bertafakur.

“Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada Allahyarham serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh serta lagi beriman,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2514415